Jurulatih Argentina, Edgardo Bauza, mencemuh dakwaan yang mengatakan Lionel Messi memilih rakan-rakannya untuk pasukan kebangsaan, dengan menegaskan kapten itu tidak mempunyai suara dalam pemilihan skuad.

Bauza tampil menafikan spekulasi yang menuduh pemenang lima kali Ballon d'Or itu mempengaruhi pemilihan kesebelasan utama Argentina.

"Mereka mengatakan bahawa Messi meletakkan rakan-rakannya dalam pasukan Argentina dan itu semua pembohongan," kata Bauza. "Ia adalah satu ciptaan media."

Messi menjaringkan gol menerusi sepakan percuma menarik dan melakukan bantuan untuk dua gol ketika Argentina menewaskan Colombia 3-0 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan, minggu lalu.

Selepas perlawanan itu, bintang Barcelona itu turut mengumumkan bahawa pemain Argentina tidak akan lagi bercakap kepada media berikutan tuduhan yang dibuat terhadap rakan sepasukannya, Ezequiel Lavezzi, dengan mendakwa dia diketepikan skuad kerana menghisap ganja.

Messi kemudiannya terlepas perlawanan tanpa jaringan Barca menentang Malaga dalam aksi LaLiga di laman sendiri kelmarin, walaupun dia dijangka cergas untuk perlawanan Liga Juara-Juara menentang Celtic, awal pagi ini.