Dedryck Boyata menegaskan dia 'menjelaskan sesuatu' kepada Marko Grujic setelah dia dituduh melanggar perintah penjarakan sosial dengan menciuma rakan sepasukan Hertha Berlin itu.

Hertha meraih kemenangan 3-0 ke atas Hoffenheim semalam dalam aksi Bundesliga yang kembali bersambung sejak penggantungan musim 2019-20 kerana wabak coronavirus sejak Mac lalu.

Langkah berjaga-jaga dilakukan sepanjang permainan, dengan pemain-pemain gantian memakai topeng dan penjarakan sosial di antara satu sama lain, tetapi Boyata kelihatan mencium Grujic di pipi.

Namun, Boyata menerusi Instagram cuba menjelaskan insiden tersebut.

"Itu bukan ciuman, bukan juga tindakan untuk meraikan sesuatu," katanya.

"Saya minta maaf kerana meletakkan tangan saya di wajah @grujicmarko. Saya hanya memberinya arahan mengenai strategi perlawanan ketika itu.

"Kami mesti berhati-hati sekarang kerana bermain dalam keadaan seperti ini. Kita harus menyesuaikan cara kita untuk bermain atau meraikannya."

Pemain Borussia Monchengladbach berpelukan setelah menjaringkan dua gol awal dalam kemenangan 3-1 ke atas Eintracht Frankfurt.

Liga Bola Sepak Jerman (DFL) menjelaskan mereka tidak akan menghukum pemain kerana meraikan jarngan, walaupun peraturan telah ditetapkan ketika ini.