Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, menafikan khabar angin bahawa badan induk itu tidak lagi berhasrat untuk terus menganjurkan Kejohanan Piala Belia dan Piala Presiden tahun depan.

Stuart tampil menjelaskan FAM sedang melakukan pertimbangan untuk mengubah format kedua-dua kejohanan itu untuk selaras dengan kalendar Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi saingan membabitkan Kejohanan Bolasepak Asia B-16 dan B-19.

FAM kini sedang cuba merangka pelan terbaik bagi memastikan kelompongan dan jurang umur yang bersesuaian untuk format baru dua saingan tersebut agar dapat mengcungkil lebih ramai bakat baru.

Justeru, satu seminar membabitkan semua pemegang taruh dan ahli gabungan FAM akan diadakan Rabu ini untuk mendapatkan maklum balas perubahan format membabitkan Piala Presiden dan Belia untuk tahun depan.

"Terdapat perubahan dalam kalendar saingan AFC. Sebelum ini, Kejohanan AFC B-16 adalah saingan kelayakan Piala Dunia B-17. Tetapi sejak beberapa tahun yang lalu, saingan kelayakan telah diubah, Kejohanan AFC B-17 adalah pentas kelayakan bagi saingan Piala Dunia B-17," kata Stuart.

Ia juga satu langkah yang baik untuk setiap pasukan menyediakan pasukan remaja yang ampuh memandangkan fokus beberapa pasukan dalam saingan liga tempatan lebih tertumpu kepada pasukan utama yang bersaing dalam Liga Super atau Liga Perdana.

"Bagi saingan musim depan, terdapat beberapa pasukan yang sudah memiliki perancangan jangka masa panjang dan ada yang masih belum membuat sebarang persiapan lagi.

"Jadi, perubahan format bagi saingan Piala Belia dan Piala Presiden yang bakal dilakukan perlu mendapat persetujuan daripada setiap pasukan yang bertanding," katanya lagi.