Legenda Juventus, Gianluigi Buffon, berasakan dirinya seperti askar ketika beraksi untuk skuad kebangsaan dan kelab serta mahu bermain hingga dia berusia 80 tahun jika diperlukan.

Buffon telah tampil 175 kali buat Itali dan membuat 638 penampilan untuk Juventus. Dia juga telah memenangi Piala Dunia pada 2006 dan menjuarai Scudetto 10 kali.

Dia dijangka bersara selepas tamat Piala Dunia 2018 tetapi Itali gagal melayakkan diri buat kali pertama sejak 1934.

"Saya tidak tahu bagaimana untuk menjawab mengenai persaraan saya," kata Buffon.

"Adakah saya akan bersara? Tidak bersara? Saya rasa seperti askar ketika beraksi untuk kelab dan negara saya," katanya.

Buffon yang diangkat sebagai Penjaga gol Terbaik FIFA tahun ini menjelaskan dia akan mengambil keputusan untuk bersara tetapi akan sentiasa terbuka untuk kembali beraksi.

"Saya akan bersara tetapi sentiasa bersedia berkhidmat untuk Juventus dan Itali.

"Walaupun sudah berusia 80 tahun, jika tiada penjaga gol, mereka boleh panggil saya," ujarnya.