BAYER LEVERKUSEN 0 JUVENTUS 2

Gianluigi Buffon memuji Cristiano Ronaldo dan Gonzalo Higuain kerana menunjukkan nilai "kepimpinan melalui teladan" ketika membantu kemenangan 2-0 Juventus ke atas Bayer Leverkusen dalam Liga Juara-Juara Eropah di Bay Arena awal pagi tadi.


Juve terlebih dahulu mengesahkan tempat sebagai pendahulu Kumpulan D sebelum bertemu Leverkusen, yang perlu mengelakkan kekalahan untuk ke pusingan 16.

Skuad kendalian Peter Bosz itu memperoleh peluang terbaik dalam babak pertama, namun Ronaldo menolak masuk bola daripada hantaran lintang Paulo Dybala pada minit ke-75 sebelum Higuain menggandakannya dalam waktu kecederaan untuk menghantar pasukan tuan rumah itu ke Liga Europa.

Buffon memuji Ronaldo dan Higuain kerana telah menunjukkan kepada pemain lain betapa mereka perlu bekerja keras dalam setiap perlawanan sepanjang musim ini.

"Jika kami menghadapi setiap perlawanan seperti ini, saya yakin kami boleh melakukan sesuatu yang hebat," kata penjaga gol itu kepada Sky Sport Italia.

"Bagaimanapun, jika kami menghadapi apa-apa perlawanan dengan perasaan sombong, ia akan menjadi masalah.

"Ia petanda yang buruk jika anda tidak menghadapi sesuatu perlawanan dengan keazaman yang betul, tidak kira sama ada anda berusia 20 atau 40 tahun.

"Saya gembira kerana kami mempunyai contoh terbaik seperti Higuain dan Ronaldo untuk mendorong prestasi, etika kerja dan pengorbanan buat pasukan," katanya.

Walaupun hanya memperoleh satu mata daripada empat perlawanan pertama, Atalanta tetap ke pusingan 16 selepas menewaskan Shakhtar Donetsk 3-0 di laman lawan dalam Kumpulan D itu.

"Saya mahu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Napoli dan Atalanta kerana melihat apa yang diraih mereka itu benar-benar menyentuh emosi," tambah Buffon.

"Saya menghubungi (jurulatih Atalanta, Gian Piero) Gasperini selepas dua perlawanan pertama dan memberitahunya untuk terus percaya kerana mereka merupakan pasukan yang boleh menewaskan mana-mana lawan.

"Mereka boleh tewas kepada sesiapa tetapi pada hari terbaik, mereka boleh menewaskan mana-mana pasukan.

"Saya amat gembira mereka layak dan ia kisah yang hebat," tambahnya lagi.