Buffon nikmati cara Tuchel di PSG

Oleh Penulis Jemputan 20 Oktober 2018 126
Buffon nikmati cara Tuchel di PSG
Penjaga gol Paris Saint-Germain (PSG), Gianluigi Buffon, memuji pendekatan tenang Thomas Tuchel berbanding corak keras yang dilalui bersama pengurus lain ketika di Itali.

Buffon menamatkan karier dalam Serie A apabila meninggalkan Juventus untuk menyertai juara Ligue 1 itu, Julai lalu.

Legenda Itali itu beraksi bersama ramai pengurus terkemuka ketika di Turin, termasuk individu penuh berdisiplin, Fabio Capello dan Antonio Conte, sewaktu memenangi tiga kejuaran liga berturut-turut.

Kini bersama kelab pertama di luar Itali, Buffon gembira dengan cara bekas pengendali Borussia Dortmund, Tuchel, yang sangat memahami pemain.

"Tuchel menunjukkan sifat bertimbang rasa yang hebat, tidak seperti sesetengah jurulatih di Itali yang menjalankan latihan ketika sedang marah," kata pemenang Piala Dunia 2006 itu.

"Dia boleh mengetepikan penjaga gol berusia 40 tahun tetapi dia melihat, memahami dan mengawalnya dengan baik.

"Secara menyerang, taktikal kami dipersiapkan dengan baik."

PSG masih belum mencicirkan sebarang mata dalam sembilan aksi liga di bawah bimbingan Tuchel sejak menggantikan Unai Emery.

Buffon melakukan lima penampilan dalam kesebelasan utama musim ini dan dia secara bergilir mengawal gawang PSG bersama penjaga gol Perancis, Alphonse Areola.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen