Penjaga gol Juventus, Gianluigi Buffon, menafikan dakwaan yang mencadangkan dia telah mengatakan bahawa pasukan lain memberikan laluan mudah setiap kali bertemu dalam saingan Serie A.

Laporan oleh A La Gazzetta dello Sport mencadangkan pemain berusia 38 tahun itu telah memberitahu rakan sepasukannya bahawa perbezaan di antara Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Serie A adalah pihak lawan sentiasa memberikan laluan mudah.

Bagaimanapun, Buffon -- yang telah menjuarai Serie A sebanyak lima kali berturut-turut -- menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan perbualan itu tidak pernah berlaku.

"Apa yang berlaku ini adalah fantasi semata-mata.

"Saya hidup dalam dunia yang nyata.

"Saya tidak bercakap tentang apa-apa. Saya tidak sepatutnya bercakap tentang perkara ini pun," katanya ketika sesi sidang media menjelang aksi kelayakan Piala Dunia berdepan Liechtenstein pada Sabtu.

Meskipun dijangka melakar kemenangan mudah ke atas Liechtenstein, Buffon memberi amaran kepada rakan sepasukannya agar tidak mengambil mudah pertemuan itu.

"Kami menjadi pasukan pilihan kerana di atas kertas, kami memiliki pemain yang kuat," katanya.

"Namun, jika kami tidak beraksi dengan mentaliti yang betul, ada kemungkinan keputusan diharapkan tidak akan berlaku."