Gianluigi Buffon dan Giorgio Chiellini menandatangani kontrak lanjutan selama setahun dengan Juventus, demikian disahkan pasukan pendahulu Serie A itu.

Kontrak asal dua pemain berpengalaman itu akan tamat tahun ini tetapi mereka akan meneruskan saingan bersama pasukan itu sekurang-kurangnya untuk semusim lagi.

Chiellini telah bersama kelab itu sejak 2005 dan telah melakukan lebih daripada 500 penampilan buat skuad Bianconeri itu manakala Buffon tiba buat kali pertama di Turin ketika berusia 19 tahun dan hanya pernah menyertai Paris Saint-Germain (PSG) selama semusim sebelum kembali ke pangkuan pasukan itu.

Walaupun Chiellini dan Buffon, masing-masing sudah berusia 35 dan 42 tahun, Juve masih dapat menilai kualiti yang dimiliki dua ikon bola sepak Itali itu untuk dipertaruhkan bagi musim 2020-21.

"Mereka adalah pemain yang tidak perlu diperkenalkan lagi," kata Juve dalam satu kenyataan.

"Kejuaraan dalam kisah mereka telah menceritakan segala-galanya dan apa-apa yang berkaitan dengan jersi yang mereka pakai tidak mungkin dapat dihapuskan.

"Mereka adalah contoh di atas padang dan bilik persalinan, ketua, faktor pendorong, pembina DNA Bianconeri, yang memakai jersi ini sebagai kulit kedua mereka.

"Gianluigi Buffon. Giorgio Chiellini. Kapten. Legenda," katanya.