LYON 0 JUVENTUS 1

Kapten Juventus, Gianluigi Buffon, membidas pengkritiknya apabila mempamerkan watak pemain terbaik perlawanan ketika menentang Lyon, dengan menyeru upacara "pengebumiannya" dibatalkan.


Penjaga gol berusia 38 tahun itu menghadapi aksi Liga Juara-Juara di Parc OL di bawah tekanan setelah melakukan kesilapan besar dalam dua perlawanan, iaitu untuk kelab dan negara.

Tetapi dia kembali di prestasi terbaiknya dalam aksi awal pagi tadi, apabila menyelamatkan sepakan penalti Alexandre Lacazette sebelum melakukan gerakan menakjubkan dalam usahanya menafikan cubaan Nabil Fekir.

Juventus terpaksa mengharungi permainan dengan 10 orang pemain gara-gara Mario Lemina mengutip kad kuning kedua tetapi Buffon kekal menjadi inspirasi.

Gol pemain gantian, Juan Cuadrado, menjadi pemisah di antara kedua-dua pasukan, sekali gus meletakkan Juve di puncak dan kemenangan seterusnya di Stadium Juventus bakal menjamin slot mereka di peringkat 16 pasukan.

"Orang ramai boleh menganjurkan upacara pengebumian saya tetapi tidak akan ada sesiapa di situ," Buffon memberitahu Mediaset Premium.

"Acap kali saya katakan, bukan saya angkuh... bahawa saya sangat kritikal terhadap diri sendiri dan tidak perlu untuk mendengar pendapat orang lain yang cuba menggunakan situasi ini untuk tidak menghormati dan bersikap kurang adil.

"Saya telah mendengar banyak perkara bodoh dalam beberapa minggu kebelakangan ini, tetapi salah satunya ulasan dibuat, 'Saya mengharapkan lebih daripada Buffon.' Itu adalah benar dan saya bersetuju tentang itu dengan sepenuh hati."

Tambahnya mengenai persembahan Bianconeri, "Juve perlu meningkatkan prestasi kerana ini tidak memadai bagi saya untuk kami meneruskan kemaraan.

"Kami lebih mampat dan lebih bekerja secara berpasukan selepas kehilangan seorang pemain. Kami bergelut apabila berdepan tekanan tetapi tidak akan hanya berpuas hati dengan satu mata, itu bukti semangat kami.

"Kami berpeluang melakukannya dengan lebih baik dan alangkah malunya jika kami gagal menggunakan kesempatan sebagai peneraju untuk mara ke pusingan seterusnya pada Mac dan seterusnya mara seberapa jauh lagi."

Cuadrado turut berpuas hati dengan impak yang dihasilkannya dengan menganggap gerakannya adalah hasil daripada naluri.

Menurutnya, "Saya cuba menghantar bola dan mendapati tiada sesiapa di kawasan tengah, jadi saya melepaskan rembatan kencang dan ia menjadi.

"Ia perlawanan sukar menghadapi pasukan sehebat Lyon tapi saya fikir kami telah mempamerkan persembahan mantap. Ini permainan sebenar Juve yang beraksi kekurangan pemain dan kami mempamerkan karektor kami.

"Objektif kami adalah untuk mengungguli kumpulan. Sekarang kami perlu mengalihkan tumpuan kerana kami mempunyai perlawanan penting di puncak Serie A hujung minggu ini menentang AC Milan."