Gianluigi Buffon berasakan Juventus memiliki peluang tipis andai berdepan Bayern Munich dan Barcelona dalam pusingan Liga Juara-Juara berikutnya berdasarkan prestasi semasa mereka.

Juve kini selesa di puncak Serie A dengan kelebihan empat mata ke atas pencabar terdekat, Roma. Mereka juga mengetuai peringkat Kumpulan H saingan elit Eropah dengan memungut tujuh mata hasil daripada tiga perlawanan.

Begitupun, penjaga gol itu berasakan mereka masih memiliki banyak lagi ruang untuk diperbaiki dan menggesa rakan sepasukannya agar tampil meningkatkan aksi mereka.

"Kami bercita-cita untuk meningkatkan pencapaian kami di Eropah, kami perlu melakukan kemajuan," kata Buffon kepada La Gazzetta dello Sport.

"Jika kami memikirkan untuk menentang pasukan seperti Barcelona dan Bayern Munich dalam suku akhir, separuh akhir mahupun final, apa yang kami tampilkan ketika ini tidak mencukupi.

"Kami kehilangan ramai pemain akibat kecederaan dan tidak dapat mengekalkan konsistensi. Namun, kami perlu mencari jalan penyelesaian.

"Kami perlu meningkatkan kualiti permainan kami, kami perlu bekerja lebih keras. Setakat ini, kami gembira dengan pencapaian kami tapi kami masih belum boleh berpuas hati lagi kerana masih dalam bulan Oktober.

"Masih ada tujuh bulan sehingga Mei nanti, dan kami perlu melakukan sesuatu untuk meningkatkan permainan."

Juventus bakal kehilangan pemain pertahanan tengah, Giorgio Chiellini, untuk kunjungan ke Lyon dalam aksi Liga Juara-Juara dan aksi Serie A berdepan Chievo pada hujung minggu ini akibat kecederaan.