Pengendali skuad B-19 negara, Bojan Hodak, mengesahkan sedang merangka persiapan terhadap barisan muda negara yang kemungkinan turut merangkumi latihan di Sepanyol sebelum mereka menghadapi pusingan akhir Kejohanan AFC B-19 di Indonesia, tahun depan.

Menurut Hodak, perancangan buat skuad B-19 negara masih belum dimuktamadkan, namun mengakui pasukannya memerlukan aksi kompetitif sebelum bersaing di Indonesia, Oktober depan.

Skuad B-19 turut mendapat jemputan untuk beraksi dalam sebuah kejohanan antarabangsa di negara tuan rumah itu, Februari depan.

"Kami baru sahaja merangka perancangan untuk skuad B-19 pada tahun depan. Ketika ini, kami diundang dalam sebuah kejohanan yang akan diadakan selama lapan hari di Indonesia pada Februari nanti.

"Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mahu menghantar skuad B-19 berlatih di Eropah, kemungkinan besar kami akan ke Sepanyol dan tahap cabaran di sana sangat tinggi dan ia bagus untuk kami," kata pengendali dari Croatia itu.

Dalam masa sama, Hodak tidak bersetuju dengan cadangan sesetengah pemerhati bola sepak tempatan untuk pemain B-19 negara diserapkan ke skuad senior.

Hodak berasakan adalah lebih baik mereka meraih pengalaman dahulu dengan skuad B-23 negara.

"Masih terlalu awal untuk melakukannya kerana mana-mana pasukan dunia pun akan mengetengahkan langkah demi langkah.

"Kami menyasarkan untuk menembusi skuad B-23 dan Datuk Ong Kim Swee mungkin akan memanggil beberapa pemain B-19.

"Mereka perlu membuktikan bahawa mereka pemain terbaik dalam skuad B-23 sebelum ke peringkat senior.

"Anda tidak boleh melangkau dari sekolah rendah terus ke peringkat universiti," hujahnya.