Ketua pasukan Terengganu FC (TFC) II, Bruno Suzuki, lega apabila ibu dan bapanya yang berada di Jepun bebas daripada dijangkiti wabak penyakit Covid-19.

Lebih meredakan kerisauan pemain kelahiran Brazil itu adalah situasi adik serta abangnya di negara Amerika Selatan itu turut berada dalam keadaan baik.

Menurut Bruno, faktor jarak membuatkan dia sentiasa bimbang dengan keselamatan ahli keluarganya namun sedikit tenang selepas menerima berita baik itu.

Tiga tahun berkelana di Kuala Terengganu, penyerang berusia 30 tahun itu berkata dia tidak sabar untuk segalanya kembali pulih seperti sedia kala.

"Kedua ibu bapa saya tinggal di Jepun di mana wabak Covid-19 juga agak teruk di sana manakala adik-beradik pula berada di Brazil.

"Sekarang belum masa yang sesuai untuk bertemu mereka namun saya gembira mereka dalam keadaan sihat.

"Kami saling mengingati agar mengikuti arahan pihak berkuasa agar pandemik ini dapat segera ditewaskan," katanya.

Kredit foto: Liga Bolasepak Malaysia (MFL)