Presiden Brescia, Massimo Cellino, menjangkakan Mario Balotelli akan meninggalkan kelab itu pada akhir musim ini memandangkan hati penyerang berkenaan tidak lagi bersama dengan mereka.

B
alotelli mengikat perjanjian selama tiga tahun dengan pasukan kampung halamannya itu tahun lalu tetapi bergelut dengan banyak masalah di luar padang.

Bekas pemain antarabangsa Itali itu pernah bertengkar dengan bekas pengurus, Fabio Grosso, November lalu dan diberitahu dia boleh meninggalkan kelab itu Januari lalu selepas berbalah Cellino.

Dia, bagaimanapun, kekal di Stadio Mario Rigamonti namun gagal menghasilkan sebarang gol dalam enam perlawanan sebelum krisis Covid-19 menjejaskan Serie A dan Selasa lalu dia dilaporkan gagal menghadiri latihan.



Sehubungan itu, Cellino menjangkakan perpisahan di antara Balotelli dan Brescia -- dipisahkan sembilan mata dari zon selamat dengan baki 12 perlawanan lagi.

"Saya cuba mengelak untuk mengenakan tindakan undang-undang dan kes Balotelli menjadi perhatian memandangkan tiada perlawanan diadakan dan tidak banyak yang boleh diperkatakan (mengenai hal bola sepak)," katanya kepada Telelombardia.

"Fikirannya tidak lagi bersama kami dan saya menganggap dia akan pergi. Tindakannya itu tiada bezanya dengan apa yang sering dilakukannya dalam kariernya -- dia hanya gemar mencetuskan hura-hara.

"Kontraknya akan terbatal secara automatik sekiranya kami tergelincir ke Serie B, jadi kemungkinan dia akan menjadi ejen bebas musim depan berdasarkan status kami itu."

Balotelli menyumbangkan lima gol dalam 19 penampilan musim ini, lantas Cellino mengakui langkah berprofil tinggi seperti itu tidak sesuai dengan perancangan mereka.

"Bekas pengurus, Eugenio Corini, telah memanjakannya. Membiarkannya tiba lewat dengan menjalani beberapa sesi latihan dengan tempo rendah. Kami kecewa, mungkin dia juga," tambahnya.

"Kami tidak menandatangani Balotelli hanya kerana menginginkan perhatian media, kami benar-benar percaya bahawa dia mampu menawarkan sumbangan penting di atas padang.

"Saya fikir begitu kerana saya menyukainya, supaya dia dapat mencipta sesuatu yang baru untuk dirinya di Brescia. Kami kecewa dengannya."