Brazil tidak boleh terlalu bergantung kepada Neymar, kata Jesus  

Oleh Shaiful Shamsudin 12 November 2020 467
 Brazil tidak boleh terlalu bergantung kepada Neymar, kata Jesus  
Gabriel Jesus menggesa Brazil agar membuktikan bahawa mereka boleh meraih kemenangan tanpa dibayangi Neymar selepas tonggak utama pasukan itu sah terlepas perlawanan menentang Venezuela dalam kelayakan Piala Dunia 2022.  

Tonggak Selecao nombor 10 itu sedang bergelut dengan kecederaan pangkal paha apabila terlepas tiga perlawanan terakhir bersama Paris Saint-Germain (PSG) termasuk ketika rebah kepada RB Leipzig dalam Liga Juara-Juara (UCL). 

Seperti kelabnya, Brazil terlalu bergantung kepada pemain berusia 28 tahun itu menjelang pertemuan pagi Sabtu ini. 

Bagaimanpun, pasukan Tite itu berhasil menawan Copa America tahun lalu, justeru Jesus percaya pasukannya tidak akan mencari alasan untuk tidak menyerlah.

"Jelas kami bercakap tentang betapa pentingnya Neymar untuk kelabnya dan pasukan kebangsaan, berapa banyak yang telah disumbangkan dan diberikannya setiap hari," kata penyerang Manchester City itu. 

"Saya adalah peminat tegarnya. 

"Tetapi apabila melaporkan diri untuk pasukan negara, setiap pemain harus memikul tanggungjawab. Semua orang ada di sini bersebab.

"Dengan kehadiran Neymar, kami akan semakin dekat dengan kemenangan tetapi Selecao telah membuktikan bahawa mereka mampu berjaya tanpanya.


 

"Kami memang mahu dia selalu ada kerana dia mampu mencipta jaringan dan peluang. Tetapi jika dia tidak dapat beraksi tatkala kami sedar kepentingannya, maka kami harus saling berkongsi tanggungjawab.

"Sesiapa pun di sini mempunyai kualiti untuk memberi kemenangan kepada Selecao."

Jesus, yang meledak gol dan dibuang padang dalam perlawanan akhir Copa America di laman sendiri tahun lalu, bertekad untuk memainkan peranan lebih besar susulan terlepas perlawanan antarabangsa yang lalu kerana kecederaan.

"Walaupun saya masih muda, saya mempunyai sejarah tertentu di sini dan saya gembira dapat menyarung jersi yang selalu saya impikan ini," katanya.

"Setiap kali dipanggil, ia akan menjadi pesta yang sama seperti biasa; Saya melihat, mendengar nama saya dipanggil dan saya berasa seronok.

"Saya memang mahu disenaraikan dan menghulurkan bantuan, kali ini saya datang dengan 100 peratus demi membantu pasukan."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen