VENEZUELA 0 BRAZIL 2

Brazil melonjak ke takhta kumpulan selepas menewaskan Venezuela 2-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan di Merida.

Selepas Uruguay seri 2-2 dengan Colombia awal pagi tadi, Brazil tidak mempersiakan peluang mereka untuk merampas tangga teratas selepas menewaskan Venezuela hasil jaringan Gabriel Jesus dan Willian.

Selepas tewas 3-0 kepada Uruguay minggu lalu, ketua jurulatih, Rafael Dudamel melakukan lima pertukaran dalam kesebelasan utama.

Oswaldo Vizcarrondo, Mikel Villanueva, Alejandro Guerra, Alexander Gonzalez dan Arquimedes Figuera direhatkan untuk memberi ruang kepada Roberto Rosales, Rolf Feltscher, Jose Manuel Velasquez, Arles Flores dan Josef Martinez.

Hujan lebat memberikan kesan kepada kedua-dua pasukan untuk mempamerkan aksi yang cemerlang pada awal permainan.

Brazil beraksi tanpa kelibat Neymar yang digantung perlawanan dan penyerang Manchester City, Jesus, yang mengambil alih tugas untuk mengetuai jentera serangan, membuka jaringan pada minit kelapan selepas berjaya mengelirukan penjaga gol, Dani Hernandez.

Venezuela cuba bangkit selepas menemui rentak permainan dengan melakukan beberapa gerakan untuk menembusi kubu pertahanan Brazil, namun pasukan pelawat hampir menggandakan jaringan pada minit ke-33, malangnya percubaan Paulinho sekadar melepasi palang gol.

Bersambung pada babak kedua perlawanan, skuad kendalian Tite menggandakan jaringan pada minit ke-53 apabila hantaran Renato Augusto berjaya disempurnakan oleh Willian.

Brazil kini mengumpul 21 mata, mengatasi Uruguay yang berada di tangga kedua dengan 20 mata, dan ini merupakan kemenangan keempat Tite dalam aksi kelayakan selepas mengambil alih tugas daripada Dunga.