Lionel Messi memberikan inspirasi kepada rakan sepasukannya dan secara peribadi membantu Martin Braithwaite yang turut teruja dengan peluang beraksi bersama Luis Suarez walaupun kesempatan dalam skuad utama menjadi terhad.

Braithwaite menyertai Barcelona pada Februari lalu selepas kelab itu diberikan pengecualian untuk membawa masuk pemain luar daripada jendela perpindahan susulan kecederaan yang menimpa Suarez dan Ousmane Dembele.

Walaupun banyak pihak mempersoalkan tindakan Barca melakukan perpindahan itu setelah melepaskan dua penggempur muda, Braithwaite meraih permulaan positif sebelum wabak coronavirus menular.

Penangguhan selama tiga bulan membolehkan Suarez untuk pulih daripada kecederaan lutut dan disahkan cergas.

Walaupun kehadiran semula Suarez dilihat memberi kesan kepada peluang buat Braithwaite, penyerang Denmark itu teruja dengan kesempatan belajar daripada bekas tonggak Liverpool itu serta Messi.

"Ia mengubah banyak perkara," katanya.

"Messi memberikan keyakinan kepada pasukan kerana dia berupaya memberikan perbezaan serta membantu saya secara peribadi menjadi pemain lebih bagus dengan nasihat dan pandangannya.

"Dia memberikan inspirasi."

Bercakap mengenai Suarez, dia menambah: "Sejujurnya, saya tidak fikir mengenai peluang yang terhad.

"Saya gembira Suarez telah kembali kerana sewaktu hadir ke sini, dia cedera dan saya tidak dapat beraksi bersamanya.

"Saya mahu belajar daripadanya. Dia salah seorang penyerang terbaik dunia dan saya gembira melihatnya kembali."