Martin Braithwaite bertekad untuk kekal lama di Barcelona walaupun wujud laporan kelab LaLiga itu mahu menjualnya.

Braithwaite, 28, tiba di Barca daripada Leganes pada Februari lalu menerusi penghijrahan kontroversi selepas klausa perpindahannya bernilai EUR18 juta (RM84 juta) diaktifkan menjadi pembelian kecemasan.

Tatkala wujud dakwaan Barca mungkin mula memikirkan untuk menjual Braithwaite, pemain Denmark itu -- yang memiliki kontrak sehingga 2024 -- tetap mahu kekal di Camp Nou.

"Saya pasti akan kekal lebih daripada empat tahun enam bulan. Itu saya dapat lihat," katanya.

"Pada waktu ini, saya hanya mahu menikmati permainan dan meraih kejuaraan bersama pasukan ini kerana itu faktor saya datang ke sini."


Braithwaite hanya tampil tiga kali buat Barca sebelum musim ini ditangguhkan ekoran wabak coronaviru.

Bekas penggempur Middlesbrough itu menetapkan sasaran peribadi yang tinggi bersama pendahulu LaLiga itu.

"Di Barcelona, saya mahu bersama semua pemain legenda dalam tempoh beraksi di sini. Bagi saya, menjadi satu sasaran untuk beraksi dalam generasi hebat Barcelona," tambahnya.

"Saya mahu orang melihat pasukan yang saya wakili dan mengakui ia merupakan yang terbaik dalam sejarah Barca. Ia motivasi tinggi untuk saya sebelum memberikan kerja keras tetapi saya bersedia. Saya sangat gembira."