Braithwaite lebih yakin robek gawang buat Barcelona 

Oleh Shaiful Shamsudin 28 April 2020 106
Braithwaite lebih yakin robek gawang buat Barcelona 
Penyerang Barcelona, ​​Martin Braithwaite, percaya bahawa dia bakal muncul sebagai salah seorang penjaring terbanyak LaLiga sebaik bola sepak kembali apabila menganggap "tidak ada pemain lain yang berlatih sepertinya".

Pemain antarabangsa Denmark itu ditandatangani daripada Leganes dengan harga €18 juta (RM84.9j),  Februari lalu, selepas pasukan kendalian Quique Setien berkenaan diberikan kebenaran khas untuk mengikat pemain di luar pasaran perpindahan susulan kecederaan yang menimpa Ousmane Dembele dan Luis Suarez.

Braithwaite tampil dalam tiga perlawanan liga bersama Barca tanpa mencatat sebarang gol sebelum kancah di Sepanyol itu digantung akibat wabak koronavirus baru (Covid-19). 

 
Walaupun terdapat perintah kawalan pergerakan yang ketat di Sepanyol, Braithwaite optimis bahawa dia tetap dalam keadaan baik dengan melengkapkan program latihan ditetapkan kelab sambil mempunyai sesi latihannya yang tersendiri.

Pemain berusia 28 tahun itu berharap mampu menjelmakan prestasi terbaik sejurus aksi disambung semula serta berharap akan mempunyai banyak peluang untuk menokok enam gol liga yang telah disumbangkan untuk Leganes musim ini.

"(Latihan yang disediakan Barcelona) hanya merangkumi sepertiga daripada program latihan saya," katanya kepada DR. 

"Ini kerana saya telah meningkatkannya lebih banyak lagi.

"Saya menggunakan kepantasan dan stamina. Saya berlatih dengan lebih terperinci daripada sebelumnya, jadi saya akan kembali dalam keadaan fizikal yang lebih baik.

"Saya tahu bahawa tiada pemain yang berlatih dan bekerja keras seperti saya. Apabila kembali beraksi, saya sudah bersedia secara fizikal dan mental.

"Apabila memperkuatkan untuk Barcelona, ​​banyak peluang akan dicipta. Saya melihat diri saya mampu meledak lebih banyak gol lagi dan menjadi salah seorang penjaring terbanyak dalam pasukan serta liga."

Pasukan LaLiga berkemungkinan akan dibenarkan kembali berlatih seawal bulan depan asalkan mereka mematuhi peraturan kerajaan tentang penjarakan sosial selepas persidangan di antara Majlis Sukan Negara Sepanyol (CSD), LaLiga dan Persekutuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF).

Timbul laporan mengatakan barisan kelab dan pegawai liga menyasarkan Jun depan untuk melangsungkan perlawanan tetapi Menteri Kesihatan Sepanyol, Salvador Illa, menolak untuk memberikan sebarang jaminan ketika bercakap mengenainya hujung minggu lalu.

"Saya tidak dapat mengatakan apakah bola sepak akan dapat memulakan aktivitinya sebelum musim panas. Adalah tidak bijak untuk saya memberikan kepastian," katanya.

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen