Jurulatih Borussia Dortmund, Peter Bosz, yang berdepan tekanan hebat menolak cadangan bahawa anak buahnya mengadakan perbincangan krisis baru-baru ini dalam usaha untuk mengubah prestasi mereka.

Dortmund tergelincir ke tangga keenam Bundesliga dengan kemenangan 5-0 dalam DFB-Pokal ke atas Magdeburg sebagai kemenangan tunggal mereka dalam 12 perlawanan terakhir.

Kekalahan 4-0 kepada Schalke dua minggu lalu, menyaksikan 'Revierderby' berakhir 4-4 sehingga timbul laporan Bosz dan pemainnya telah mengadakan perbincangan.

Bercakap menjelang perlawanan menentang Werder Bremen hari ini, bekas pengurus Ajax itu menegaskan laporan itu tidak tepat.

"Saya mengadakan banyak sesi setiap minggu, kadang-kadang dengan pertahanan, kadang-kadang dengan semua pemain," katanya.

"Adalah penting untuk bercakap dengan pemain dan marilah kita saling berkongsi pendapat. Saya tidak tahu sesi yang mereka katakan, saya fikir mereka membawa maksud pertemuan pasukan," ujarnya.

Pengarah Sukan, Michael Zorc, melabelkan aksi Bremen sebagai pertemuan wajib menang dan ia dipersetujui pengurus Belanda itu.

"Kami masih menunggu kebangkitan, kami perlu melakukannya sekarang dengan kemenangan, esok kami perlu menang di tempat sendiri," kata Bosz, setelah menunjukkan perkembangan positif dalam kekalahan 3-2 kepada Real Madrid dalam Liga Juara-Juara, Rabu lalu.

"Ini adalah perlawanan yang sangat penting dan tahap permainan yang baik memberi saya harapan untuk berdepan Bremen," katanya lagi.