Bonaventura tujukan gol kepada mangsa gempa bumi

Oleh Staff Writer 31 Oktober 2016 1
Bonaventura tujukan gol kepada mangsa gempa bumi

Pemain tengah AC Milan, Giacomo Bonaventura, mendedikasikan gol dijaringkannya dalam kemenangan 1-0 ke atas Pescara kepada mereka yang terjejas dengan gempa bumi yang melanda Itali.

Bandar Norcia -- yang berada hampir dengan pusat gempa berukuran 6.6 skala Richter -- mengalami kerosakan teruk, terutamanya terhadap struktur bangunan dengan 20 mangsa mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, tiada kematian dicatatkan selain gempa susulan yang berlaku di daerah Marche dan Umbria.

Bonaventura, yang lahir di daerah San Severino Marche, meluru ke arah kamera di tepi padang untuk menyampaikan mesej "Forza Italia" selepas meledak gol menerusi sepakan percuma.

Selepas tamat perlawanan, pemain berusia 27 tahun itu mengesahkan niatnya terhadap pihak media dan menegaskan Milan akan lakukan yang terdaya untuk membantu.

"Saya tujukan gol ini kepada mereka yang terjejas dengan gempa bumi yang berlaku." katanya.

"Saya merasai apa yang mereka lalui kerana saya juga berasal dari daerah sama.

"Saya juga tahu kami (Milan) akan lakukan yang terdaya untuk membantu."

Sementara itu, Bonaventura gembira jaringannya melonjakkan Milan ke kedudukan ketiga Serie A.

"Saya gembira dengan kemenangan ini. Kami hampir dikecewakan tetapi yang penting kami melakar kemenangan.

"Kami perlu menikmati kedudukan kami ketika ini."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen