Bolt terima tawaran beraksi di Eropah

Oleh Penulis Jemputan 16 Oktober 2018 4027
Bolt terima tawaran beraksi di Eropah
Usain Bolt telah ditawarkan kontrak selama dua tahun oleh sebuah kelab Eropah yang tidak didedahkan namanya, kata ejennya.

Juara Olimpik lapan kali, Bolt, yang bersara daripada arena olahraga pada 2017, sedang menjalani ujian bersama kelab Liga Australia, Central Coast Mariners, bagi mengejar impiannya untuk bergelar pemain bola sepak profesional.

Pemain berusia 32 tahun itu menjaringkan gol dua kali dalam aksi persahabatan berdepan Macarthur South West United, Jumaat lalu, bagi meningkatkan peluang untuk mendapatkan tawaran beraksi dalam Liga A yang bermula hujung minggu ini.

Tony Rallis, yang bertindak sebagai ejen Bolt di Australia, berkata sebuah kelab di Eropah yang memiliki cita-cita beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL) telah menawarkannya kontrak.

"Terdapat kelab di Eropah yang menawarkan Bolt kontrak selama dua tahun. Mereka telah diambil alih oleh pemilik baru yang mahukan kelab itu bersaing dalam UCL," katanya.

Ketua Pegawai Eeksekutif Mariners, Shaun Mielekamp, pula menegaskan masih terlalu awal untuk menawarkan kontrak kepada Bolt.

Sementara itu, akhbar British, The Guardian, menamakan kelab Eropah yang berminat terhadap Bolt sebagai juara Malta, Valetta FC.

Kelab itu, yang baru diambil alih sekumpulan pelabur dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), dilaporkan menyuntik sejumlah besar dana untuk ia layak ke Liga Juara-Juara.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen