Usain Bolt mendedahkan dia mungkin menyerah kalah dalam mengejar impiannya bergelar pemain bola sepak profesional walaupun memperoleh banyak tawaran.

Juara lapan kali Sukan Olimpik berusia 32 tahun itu tidak bersetuju menyertai Central Coast Mariners selepas melalui fasa percubaan bersama kelab Liga Australia tersebut.

Bolt juga dikaitkan dengan perpindahan ke Malta, namun legenda pecut dunia itu mengatakan yang dia berkemungkinan melupakan impian untuk menjadi pemain bola sepak.

"Saya sudah tiada kaitan dengan Central Coast, namun memperoleh beberapa tawaran daripada kelab-kelab lain.

"Saya sedang memikirkan apa yang patut dilakukan.

"Saya akan mengumumkannya pada penghujung bulan ini sama ada saya akan menyertai sesebuah pasukan atau saya akan berhenti," katanya.

Bolt menjaringkan dua gol buat Mariners dalam aksi persahabatan, Oktober lalu.

Kedua-dua pihak, bagaimanapun, gagal memeterai sebarang perjanjian.