Usain Bolt terkejut apabila perlu menjalani ujian doping walaupun telah bersara daripada olahraga dan perlu menunggu jika dia akan memperoleh kontrak profesional dalam bola sepak.

Bekas bintang pecut itu menunjukkan notis untuk ujian doping di Instagram daripada Persekutuan Bolasepak Australia (FFA).

"Saya telah bersara daripada arena olahraga untuk menjadi pemain bola sepak tetapi saya perlu mengambil ujian doping sekali lagi," kata Bolt.

"Bagaimana saya mahu melakukannya? Saya masih belum lagi menjadi pemain profesional.

"Saya bertanya kepada FFA mengapa saya perlu diuji walaupun belum menandatangani kontrak bersama mana-mana kelab lagi? Mereka memberitahu kerana saya merupakan atlet elit, jadi perlu melalui prosedur ini."

Bolt kini dalam sesi ujian bersama kelab Liga A, Central Coast Mariners.

Pemain berusia 32 tahun itu, yang merupakan pemenang lapan pingat emas Sukan Olimpik di samping pemegang rekod 100 meter dan 200m, menjaringkan dua gol dalam aksi pra-musim, Jumaat lalu.