Jorge Sampaoli berkata Lionel Messi tidak berhutang Piala Dunia dengan Argentina, sebaliknya bola sepak yang terhutang dengan pemenang lima kali Anugerah Ballon d'Or itu selepas membawa gergasi Amerika Selatan itu ke Russia 2018, sebentar tadi.

Messi memainkan watak wira buat Argentina dengan hatriknya memastikan kemenangan 3-1 dalam misi wajib menang ke atas Ecuador untuk mereka melepasi pusingan kelayakan zon Amerika Selatan tatkala berdepan debaran getir menduduki tangga keenam sebelum sepak mula.

Selepas tiga kali seri berturut-turut, juara dua kali itu hampir terlepas pusingan akhir sejak kempen 1970 di Mexico, namun ketua pasukan, Messi, menggalas beban itu berseorangan dalam perlawanan berkenaan untuk mereka meraih tempat ketiga.

"Bola sepak terhutang Piala Dunia kepada Messi," kata Sampaoli sejurus tamat permainan.

"Saya memberitahu pasukan, 'Messi tidak berhutang Piala Dunia dengan Argentina, sebaliknya bola sepak yang terhutang dengan Messi'.

"Kami patut membantunya dalam kempen baru Piala Dunia nanti. Saya sangat teruja untuk bersama-samanya," katanya.

Argentina berdepan detik mencemaskan apabila pintu gol mereka dibolosi hanya 38 saat selepas sepak mula perlawanan.

Bagaimanapun, Messi mencuri perhatian dengan menghadiahkan dua gol pada separuh masa pertama untuk Argentina terus menghidupkan peluang mereka.

Messi kemudian menyempurnakan hatriknya dengan gerakan solo dengan melambung bola melepasi jangkauan penjaga gol.

Tambah jurulatih itu lagi: "Argentina mengambil langkah besar. Saya berharap dengan tempoh yang ada, kami akan menjadi kompetitif seperti hari ini."