Malu.

Itu hakikat yang harus diterima susulan kekalahan memalukan skuad Sukan SEA negara kepada tuan rumah, Filipina, dalam aksi kedua peringkat kumpulan malam tadi, sekali gus memberi tamparan hebat buat anak buah Datuk Ong Kim Swee itu yang terpaksa mengemis nasib untuk meneruskan kemaraan.

Setelah diikat Myanmar 1-1 dalam perlawanan pembukaan di Stadium Memorial Rizal, Malaysia yang diketuai pertahanan daripada skuad senior, Adam Nor Azlin, turun dengan misi merebut tiga mata tetapi dikecewakan dengan jaringan dalam babak kedua oleh pertahanan, Amani Aguinaldo.

Kekecewaan jelas terpancar di wajah Kim Swee saat melewati bilik sidang media selepas perlawanan berakhir dan jurulatih dari Melaka itu mengakui anak buahnya gagal beraksi dengan cemerlang sejak wisel permulaan ditiupkan.

"Ia keputusan yang memalukan buat kami tetapi kini masih ada baki dua perlawanan. Ia memerlukan disiplin dan perwatakan pemain, jadi lihat nanti apa akan berlaku," katanya.

Kim Swee juga sedar ketumpulan penyudah membezakan Malaysia dan Filipina walaupun kedua-dua pasukan jelas memerlukan kemenangan untuk menghidupkan peluang ke separuh akhir.

Namun, jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan untuk melihat skuad negara mencipta kejutan, sekali gus mengelak aib di Filipina.

"Ia menunjukkan bahawa Filipina lebih laparkan kejayaan berbanding kami. Kami patut malu dengan keputusan ini tetapi secara matematik, kami masih mampu layak."