Bola Sepak Cacat Penglihatan Piala Asia: Skuad negara dikecewakan Korea Selatan

Oleh Penulis Jemputan 14 Disember 2017 508
Bola Sepak Cacat Penglihatan Piala Asia: Skuad negara dikecewakan Korea Selatan
Skuad negara hilang kata-kata ketika tiket ke Piala Dunia 2018 diragut Korea Selatan selepas tewas kepada pasukan itu 3-4 dalam Kejohanan Bola Sepak Cacat Penglihatan Piala Asia di Stadium Hoki Tun Razak, hari ini.

Malaysia yang hanya memerlukan seri dalam aksi kedua Kumpulan B itu untuk ke Madrid, Sepanyol tahun depan gagal memperagakan aksi kemas sekalipun beraksi di tempat sendiri.

Kedua-dua pasukan terdahulu tewas kepada Iran tetapi kelebihan milik Malaysia berdasarkan perbezaan jaringan.

Di atas dasar itu, hanya seri diperlukan Malaysia menentang Korea Selatan untuk ke separuh akhir, sekali gus mengesahkan tiket ke Piala Dunia.

Skuad negara, bagaimanapun, menjelmakan sesuatu yang menakjubkan apabila mendominasi separuh masa pertama dengan pendahuluan 3-1.

Penguasaan skuad negara tidak bertahan lama kerana apa yang menyusul adalah kebangkitan Korea Selatan dengan ditunjangi Yun Cheol Shin.

Tiga jaringan daripada lawan disusuli linangan air mata pemain negara, memadai menceritakan betapa peritnya musnah impian ke Piala Dunia.

"Inilah bola sepak. Kami sudah memberikan segala-galanya. Strategi, semangat dan tahap fizikal sudah baik. Kami juga sudah mendapatkan gol yang dimahukan. 

"Memang kami mahu menjaringkan lebih daripada dua gol. Tetapi saya terpaksa mengaku pemain-pemain saya keletihan," kata jurulatih pasukan negara, M. Shalesh.

Sementara itu, kapten skuad negara, Amirul Arif Mahadhir, berkata: "Memang kami kecewa tetapi kami mengharapkan sokongan tidak putus-putus daripada rakyat Malaysia. 

"Kami boleh tunjukkan lagi kami boleh pergi lebih jauh selepas ini. Kami rata-ratanya muda, bawah daripada 25 tahun. Kami mungkin layak dalam Sukan Paralimpik 2020. Insya-Allah."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen