Bola Sepak Cacat Penglihatan Piala Asia: Malaysia kalah dengan taktikal Iran

Oleh Penulis Jemputan 13 Disember 2017 608
Bola Sepak Cacat Penglihatan Piala Asia: Malaysia kalah dengan taktikal Iran
Malaysia terpaksa akur dengan kekalahan 2-0 di tangan Iran dalam aksi pertama Kumpulan B,  Kejohanan Bola Sepak Cacat Penglihatan Piala Asia di Stadium Hoki Tun Razak, hari ini.

Skuad negara bermula baik dan memberikan tentangan sengit sehingga berjaya mengikat kedudukan tanpa jaringan pada separuh masa pertama. 

Bagaimanapun, Iran tampak lebih dominan dalam babak kedua dan berjaya membuka tirai gol menerusi Rasol Baseri pada minit ke-30.

Pelawat terus melebarkan jurang dua minit kemudian hasil sepakan penalti Behzad Zadalias-Ghari.

Bagi kapten skuad negara, Muhammad Amirul Arif, kelekaan benteng yang terlalu banyak melakukan kesalahan di kawasan sendiri membolehkan lawan mencipta gol.

"Kami terlalu agresif pada separuh masa kedua hingga mengakibatkan banyak kesilapan berlaku. Ia turut memberikan tekanan kepada kami.

"Mengikut peraturan bola sepak cacat penglihatan, apabila melakukan lima kesalahan, mereka akan dikenakan penalti. Untuk mengelak perkara itu berlaku, kami agak tertekan," katanya.

"Apabila kami membuat analisis sepanjang perlawanan menentang Iran selama ini, pertahanan mereka begitu kuat. Mereka hanya menggunakan dua pemain untuk bertahan tetapi aksi menentang Malaysia hari ini mereka menggunakan empat pemain. 

"Setiap kali kami melakukan serangan, ada empat orang di belakang. Itu kepakaran mereka bagi memastikan kami tidak boleh menjaringkan gol dan tiada ancaman," ujarnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen