Pengendali skuad B-19 negara, Bojan Hodak, mengekalkan sebahagian besar pemain daripada skuad B-18 AFF untuk menghadapi saingan kelayakan AFC Bawah 19 tahun apabila menyenaraikan senarai akhir 23 pemain, semalam.

Bagi Hodak, dia enggan melakukan perubahan besar dalam pasukan kerana persefahaman dalam kalangan pemain kini bertambah baik.

Bekas pengendali Kelantan itu juga optimis mereka akan bersedia mengharungi cabaran kelayakan di Paju, Korea Selatan, yang bakal bermula Selasa ini.

“Tidak banyak perubahan kerana seluruh pasukan kini dalam keadaan bersatu dan harmoni. Kami juga menambah tiga pemain baru kerana merasakan mereka mampu menambah kekuatan pasukan. Pemain-pemain juga berada dalam semangat tinggi,” katanya.

Hodak juga mahu pemain-pemainnya segera menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk di Paju kerana kerisauannya adalah suhu yang sejuk pada waktu malam.

“Keadaan suhu pada waktu malam sangat sejuk, jadi mereka perlu menyesuaikan diri dengan cepat.

“Mungkin ada antara mereka yang pertama kali menghadapi situasi itu tetapi ia berguna untuk masa depan,” tambahnya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan F bersama Korea Selatan, Indonesia, Brunei dan Timor Leste.