Cristiano Ronaldo berkata dia harus menjadi "orang bodoh" jika gagal belajar daripada pemain seperti Paul Scholes dan Ryan Giggs ketika hari-hari awalnya di Manchester United.

Pemain kebangsaan Portugal itu menempa nama di Old Trafford selepas menyertai kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu daripada Sporting CP pada 2003 di usia 18 tahun.

Dia menjaringkan 118 gol dalam tempoh enam musim bersama United dan telah membintangi Real Madrid dan kini bersama Juventus, dengan baru-baru ini menjaringkan gol ke-700 untuk kelab dan negara.

Ditanya bagaimana dia membentuk dirinya menjadi seorang penyerang prolifik, Ronaldo memberitahu France Football: "Dengan menggunakan otak saya. Jika anda memiliki kepandaian yang sedikit, anda harus lihat dan mengambil contoh daripada pemain-pemain yang jauh lebih baik daripada anda.

"Itulah yang saya lakukan ketika di Manchester dengan melihat apa yang dilakukan oleh Ryan Giggs, Paul Scholes, Ruud van Nistelrooy dan Rio Ferdinand. Jika anda tidak belajar daripada mereka, anda seorang yang bodoh.

"Matlamatnya bukan untuk meniru tetapi mengambil langkah-langkah terbaik mereka dan menggunakannya dengan cara tersendiri. Itu apa yang saya lakukan. Saya memiliki sedikit bakat dan saya melihat mereka.

"Sir Alex Ferguson turut banyak mengajar saya dan saya menyedari saya berpotensi untuk menjaringkan gol, bukan hanya menggelecek dan melakukan hantaran. Saya mula berfikir sebagai seorang pemain yang lengkap tanpa sebarang kelemahan.

"Saya mampu menjaringkan gol dengan kaki kanan, kiri dan kepala. Saya kuat dan pantas. Jika anda memiliki semua ini dan etika yang betul serta gaya hidup yang sihat, anda masih boleh melakukannya pada usia 34 setengah tahun."

Ronaldo telah memenangi lima Ballon d'Or dan tersenarai untuk anugerah tahun ini selepas musim pertama yang cemerlang bersama Juve.

Memasuki tahun ke-18 di peringkat seniornya, pemain kelahiran Portugal itu masih lagi mahu berada di tahap tertinggi dalam mutu permainannya.

Berbincang tentang kebangkitan Juve mengatasi Lokomotiv Moscow 2-1 dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), Ronaldo berkata, "Mereka enggan bermain dan memilih untuk bertahan.

"Sukar untuk menjaringkan gol, saya gagal melakukannya dan kecewa pada penghujung permainan. Ia perkara biasa, paling penting adalah pasukan menang.

"Tetapi selepas saya kembali ke bilik persalinan, saya kembali tenang. Selepas perlawanan, saya keluar dan makan malam bersama rakan-rakan. Saya pulang pada jam 4 pagi. Saya minum segelas air sebelum tidur. Saya bangun jam 10 pagi dan mengambil sarapan.

"Pada Jam 11, saya kembali berlatih di gim. Jika anda tidak memiliki disiplin ini setiap hari, anda tidak boleh berada di puncak selama 15 tahun."