Pemain pertahanan, Jerome Boateng, yakin dia kini 90 peratus bersedia untuk membantu skuad Jerman bagi mempertahankan kejuaraan Piala Dunia di Russia.

Sewaktu bersama Bayern Munich, Boateng terpaksa dikeluarkan ketika bertemu Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah pada April lalu akibat masalah kecederaan paha.

Dia tidak disenaraikan Jerman dalam perlawanan persahabatan menentang Austria kelmarin yang berkesudahan skuad kendalian Joachim Low itu tewas 2-1.

Bagaimanapun, pemain bek tengah itu yakin dia masih mampu membarisi skuad Jerman menjelang saingan Piala Dunia yang bakal membuka tirai pada 14 Jun ini walaupun masih belum menyertai sesi latihan penuh.

"Ketika ini, saya boleh menjanjikan bahawa saya sudah bersedia untuk Piala Dunia di Russia," kata Boateng kepada Bild.

"Saya 90 peratus bersedia, mula melakukan larian serta latihan dengan bola dan segalanya tampak bagus.

"Saya menjangkakan akan kembali menyertai sesi latihan pada minggu depan. Segalanya mengikut perancangan dan jadual tetapi saya tidak mahu mengambil sebarang risiko. kecederaan berlaku dalam bola sepak dan saya telah melaluinya dalam waktu yang sukar."