Boateng akan tentukan masa depannya sendiri -- Flick

Oleh Penulis Jemputan 31 Disember 2019 120
Boateng akan tentukan masa depannya sendiri -- Flick
Hansi Flick berkata pemain pertahanan, Jerome Boateng, bakal menentukan sendiri masa depannya selepas diketepikan daripada skuad utama Bayern Munich.

Boateng turun lapan kali dalam kesebelasan utama daripada 17 aksi Bundesliga musim ini dan kini kuat dikaitkan dengan penghijrahan bulan depan.

Juventus dan Paris Saint-Germain (PSG) merupakan antara destinasi buat pertahanan skuad kebangsaan Jerman itu sementara Arsenal dikhabarkan telah mengambil langkah awal untuk menandatangani pemain tersebut.

Pengurus sementara Bayern, Flick, membenarkan Boateng, yang bakal kehabisan kotrak pada penghujung musim depan, membuat keputusan sama ada mahu kekal di Allianz Arena atau mencari cabaran baru bersama kelab lain.

"Kami berinteraksi dengan baik dan berbincang secara terbuka," kata Flick kepada majalah sukan Jerman, Kicker. 

"Berdepan Wolfsburg, dia hadir dalam pasukan dan memiliki sedikit masalah, namun dia membuktikan kualiti untuk bermain bersama Bayern. 

"Boateng perlu membuat keputusan mengenai masa depan sendiri kerana ia melibatkan kariernya."

Tidak kira apa pun masa depan Boateng, Flick dijangka bakal mendapatkan khidmat pertahanan kanan yang baru tidak lama lagi.

"Benjamin Pavard beraksi baik dalam setiap posisi tetapi cemerlang selaku pertahanan tengah. Jadi, kehadiran seorang pertahanan kanan baru akan membantu pasukan."

"Jendela perpindahan musim sejuk selalunya mendapatkan pemain-pemain yang sudah bersedia untuk membantu pasukan dan ia sukar untuk dicari. Saya sedang berbincang dengan Karl-Heinz Rummenigge (pengerusi kelab) dan Hasan Salihamidzic (pengarah sukan Bayern)."

Bayern kini di tangga ketiga Bundesliga selepas 17 perlawanan, ketinggalan empat mata kepada pendahulu, RB Leipzig.


Editor: Ammar Hakim
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen