BELANDA 0 PERANCIS 1

Pengendali pasukan, Danny Blind, berpendapat Belanda seharusnya meraih satu mata ketika tewas 1-0 kepada Perancis di Amsterdam, awal pagi tadi.

Rembatan Paul Pogba dari luar kotak penalti menjadi pemisah dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 itu, apabila penjaga gol, Maarten Stekelenburg, gagal menidakkan percubaan pemain termahal dunia itu.

Pasukan tuan rumah bergelut untuk mencipta peluang selepas ketinggalan walaupun mereka sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti sebelum tamat separuh masa pertama.

Percubaan Vincent Janssen terkena tangan Laurent Koscielny, namun pengadil perlawanan, Damir Skomina, menolak rayuan pemain-pemain Belanda.

"Ia agak mengejutkan kerana tiada sepakan penalti diberikan kepada kami selepas apa yang telah berlaku," jelas Blind.

"Saya berpendapat kami berhak membawa pulang satu mata. Kami telah berusaha sebaik mungkin berdepan pasukan yang kuat.

"Perancis memiliki kualiti dan pemain yang berkebolehan menjaringkan gol."

Blind turut menyatakan penjaga gol Everton, Stekelenburg, seharusnya mampu menampan percubaan Pogba.

"Saya percaya dia mampu menidakkan percubaan tersebut. Dalam sesi latihan, dia telah menyelamatkan banyak percubaan sebegini tanpa sebarang masalah."

Netherlands -- yang tidak pernah tewas dalam aksi kelayakan Piala Dunia dalam tempoh 15 tahun -- kini menghuni tangga ketiga Kumpulan A di belakang Perancis dan Sweden.