Daley Blind berharap dia sempat cergas bagi mewakili Belanda dalam Euro 2020 selepas tidak dapat beraksi mewakili Ajax sepanjang baki musim ini berikutan kecederaan buku lali.

Pemain berusia 31 tahun itu menghadapi kecederaan berkenaan dalam babak kedua sewaktu pasukannya menewaskan Gibraltar 2-0 dalam pusingan kelayakan Piala Dunia.

Blind pada awalnya dikhuatiri mengalami kecederaan ligamen lutut selepas terjatuh dalam keadaan yang amat mengerikan dan terpaksa diusung keluar padang.

Bagaimanapun, pemain serba boleh itu telah menjalani pemeriksaan imbasan semalam dan disahkan tidak mengalami kecederaan jangka panjang tetapi akan terlepas baki saingan Ajax musim ini.

Ajax memberikan makluman terbaru dalam laman web rasmi mereka dan Blind berkata: "Hari ini, selepas pemeriksaan di hospital, mujurlah keputusannya tiada sebarang kecederaan di lutut tetapi ligamen di bahagian depan buku lali saya terkoyak.

"Saya fikir musim saya bersama Ajax sudah tamat. Saya akan menjalani pembedahan minggu depan. Jika segala-galanya berjalan dengan lancar sepanjang pemulihan, saya harap ia akan sempat pulih sebelum Euro musim panas ini.

"Sudah pasti saya kecewa. Anda bermain bola sepak untuk memenangi trofi dan trofi itu akan dimenangi dalam beberapa bulan ini. Sudah pasti saya mahu berada di sana. Ia musim yang hebat buat Ajax. Ia kini tamat dengan penuh mengecewakan buat sata," katanya.

Ajax kini berkelebihan 11 mata di depan PSV selaku pendahulu Eredivisie dan akan berdepan AS Roma dalam suku akhir Liga Europa.