Vincent Janssen hilang ingatan selama 20 minit selepas berlaku perlanggaran keras dengan Simon Mignolet dalam perlawanan persahabatan Belanda yang berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 menentang Belgium.

Davy Klaassen meletakkan pasukan Danny Blind di hadapan selepas 38 minit menerusi sepakan penalti di Amsterdam.

Jeremain Lens mengalami kecederaan hamstring sebelum Yannick Carrasco memberikan gol penyamaan lapan minit sebelum tamat perlawanan.

Bagaimanapun, kecederaan yang dialami oleh penyerang Tottenham, Janssen, mencetuskan kebimbangan kepada Blind menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Luxembourg, Ahad ini.

"Janssen akan menjadi cerita yang sangat sukar," katanya kepada pemberita.

"Doktor memberitahu saya ia adalah gegaran. Dia kehilangan 20 minit ingatan dan tidak tahu apa yang berlaku.

"Kami perlu berhati-hati dengan perkara tersebut dan perlu membincangkannya."

Dalam pada itu, kapten Belanda, Wesley Sneijder, telah membuat penampilan antarabangsa ke-125, berada di bawah Edwin van der Sar, yang telah membuat penampilan sebanyak 130 kali dalam senarai sepanjang zaman.

"Sehingga kami bolos satu gol, kami tidak memberikan pasukan pelawat peluang," katanya.

"Pasukan kami beraksi dengan cemerlang tetapi kurang kreativiti.

"Kami perlu lebih yakin ketika memegang bola dan bermain dengan lebih cekap. Pada akhirnya, ia merupakan keputusan seri yang adil."