Bintang muda City dapat pujian Guardiola 

Oleh Penulis Jemputan 7 Disember 2017 1118
Bintang muda City dapat pujian Guardiola 

SHAKHTAR DONESTK 2 MANCHESTER CTY 1 

Pep Guardiola menempa kekalahan pertama Manchester City sejak April lalu, namun memuji prestasi tiga pemain muda yang diberi peluang ketika menentang Shakhtar Donetsk dalam Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.


Dua umpanan Marlos menghukum City untuk kekalahan sulung pada musim ini dengan gol babak pertama tuan rumah hadir menerusi Bernard dan Ismaily manakala sepakan penalti Sergio Aguero pada masa kecederaan sekadar gol sagu hati. 

Bintang remaja, Phil Foden, menjadi pemain Inggeris termuda untuk memulakan perlawanan UCL manakala pemain berusia 20 tahun, Tosin Adarabioyo, turut diturunkan di bahagian pertahanan sejak awal permainan dan Brahim Diaz, 18, yang masuk sebagai pemain gantian sempat menyaksikan percubaannya singgah di palang gol.

Walaupun City gagal menutup Kumpulan F dengan rekod sempurna, Guardiola sebaliknya berpuas hati dengan cara pasukannya bermain ketika menentang Shakhtar yang turut mara sebagai naib juara kumpulan hasil kemenangan ketiga di tempat sendiri.

"Tahniah kepada mereka tapi kami juga melakukannya (layak untuk pusingan kalah mati)," Guardiola memberitahu BT Sport.

"Kami bermula dengan baik tetapi mereka membalas dengan baik untuk gol pertama. Gol kedua yang dibolosi, kami tidak bertahan dengan baik tetapi kami berjuang.

"Saya sangat gembira dengan Tosin, Brahim dan Phil kerana mereka bermain menentang pasukan berbakat seperti Shakhtar. Kami datang ke sini untuk menang tapi kami tidak dapat melakukannya tetapi kami cuba.

"Kami ketinggalan 2-0 tetapi kami terus mencuba, kami membuat sedikit rombakan dan kami mencipta beberapa gerakan yang bagus tetapi mereka bertahan dengan baik. Namun, kami layak dan saya gembira dengan prestasi ini," katanya lagi.


 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen