Maurizio Sarri percaya Cristiano Ronaldo dan bintang Juventus yang lain kurang ketajaman selepas mereka tewas kepada Napoli dalam penentuan akhir Copa Italia di Stadio Olimpico awal pagi tadi.

Napoli menang 4-2 dalam penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Selepas dua perlawanan sejak saingan bola sepak Itali -- yang direhatkan kerana pandemik koronavirus -- bersambung, Juve masih gagal menghasilkan sebarang gol.

Sarri berkata Ronaldo dan pemain lain di bahagian serangan kekurangan tahap kecergasan yang diperlukan selepas tiga bulan tidak beraksi secara kompetitif.

"Keadannya sama seperti pemain lain, seperti Paulo Dybala dan Douglas Costa. Dia kurang tajam untuk memberikan yang terbaik," katanya kepada RAI.

"Saya tidak banyak bercakap dengan pemain selepas tamat perlawanan.

"Saya amat sedih dan kecewa, sama seperti mereka, jadi lebih baik untuk senyap pada waktu ini.

"Kami akan berbincang dengan lebih baik pagi esok," katanya

Paulo Dybala dan Danilo gagal menyempurnakan sepakan penalti buat Juventus, yang berkelebihan satu mata di puncak Serie A menjelang perlawanan menentang Bologna -- perlawanan pertama sejak liga itu direhatkan Mac lalu -- awal pagi Selasa depan.

Sarri menerima kegagalan pasukannya dan percaya mereka kurang cemerlang untuk akur gagal menjaringkan gol dalam dua perlawanan berturut-turut buat kali pertama sejak Oktober 2015.

"Terdapat kekecewaan buat pemain, buat kelab ini dan buat penyokong tetapi ini adalah waktu tertentu, buat keadaan fizikal dan beberapa kekurangan yang penting.

"Kami melakukan pemilihan yang berbeza daripada biasa, memberikan tekanan yang kurang tinggi untuk memiliki penguasaan pada jarak jauh dan kami bermain dengan tahap aplikasi yang baik.

"Buat masa ini, bagaimanapun, kami kurang cemerlang untuk menjadikan permainan kami lebih berbahaya dan tanpa kecemerlangan itu, ia menjadi sukar untuk kami menewaskan lawan, di mana pemain kami sepatutnya boleh melakukannya dengan mudah dan dapat mencari penyelesaian.

"Dua keputusan 0-0 adalah fakta yang belum pernah terjadi dan saya fikir ia merupakan perwatakan pada waktu ini," katanya lagi.