HOFFENHEIM 0 RB LEIPZIG 2

Julian Nagelsmann menghamburkan pujian terhadap Dani Olmo selepas bintang RB Leipzig itu meledak dua gol apabila mereka melebarkan rekod kepada 12 kemenangan Bundesliga berturut-turut menerusi kejayaan 2-0 ke atas Hoffenheim.


Bintang Leipzig itu melengkapkan golnya pada minit ke-11 untuk skuad kendalian Nagelsmann berkenaan menundukkan tuan rumah, awal pagi tadi.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu, yang dipancing daripada Dinamo Zagreb Januari lalu, terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit kesembilan sebelum menggandakan kedudukan, dua minit kemudian.

Sehubungan itu, pengurus tersebut memuji Olmo selepas menyaksikan pasukan asuhannya berkongsi kedudukan ketiga dengan memberitahu wartawan: "Sebelum perlawanan, kami sempat mengatakan bahawa betapa pentingnya untuk dia diletakkan di posisi nombor 10.

"Itu adalah posisi kegemarannya. Kami meletakkannya di situ selepas mendapati kecenderungnya menghidu gol dalam beberapa minggu terakhir ini di sebalik perlu menjalankan tugas bertahan dengan lebih kerap, cuma dia sering gagal menyudahkan peluang.

"Hari ini dia beberapa kali bertindak bagus dalam kotak penalti bahkan hampir berjayamenghasilkan gol ketiganya dalam babak kedua ketika mengambil sepakan percuma dari jarak 11, 12 meter."



Menurut pengurus muda itu lagi: "Saya sangat berpuas hati dengan persembahannya. Dia semakin dapat menyesuaikan diri dan bertambah baik. Dia berbakat besar dan pemain terbaik yang ingin belajar dan sering merendah diri. Dia bercita-cita tinggi dan memiliki keyakinan diri dan tidak takut untuk meminta bola.

"Dia ingin diberi kesempatan. Saya sukakan hal itu. Dia memiliki sikap rendah hati yang diperlukan untuk terus berkembang. Dia boleh menjadi tonggak masa depan kami yang akan menampilkan lebih banyak persembahan yang bagus."

Pemain berusia 22 itu menambahkan: "Seronok rasanya dapat meledak jaringan berganda saya buat julung kalinya bersama RB Leipzig.

"Tetapi kemenangan lebih penting, saya lebih senang mengenainya.

"Ia memberikan kami kelebihan dalam baki kempen ini. Kami ingin memenangi setiap perlawanan, merampas baki sembilan mata yang ada untuk meraih tiket Liga Juara-Juara (UCL)!"