Bilic kecewa keganasan penyokong sendiri cemari kemenangan West Ham

Oleh Jack Davies 26 Oktober 2016 3
Bilic kecewa keganasan penyokong sendiri cemari kemenangan West Ham
Slaven Bilic mengakui kekacauan yang ditimbulkan penyokong sendiri ketika meraih kemenangan 2-1 ke atas Chelsea dalam Piala Liga Inggeris (EFL) di Stadium London adalah insiden yang memalukan. 

The Hammers mengesahkan tempat ke suku akhir Piala EFL menerusi gol Cheikhou Kouyate dan Edimilson Fernandes, biarpun Chelsea cuba memberi saingan menerusi gol lewat Gary Cahill. 

Bagaimanapun, pada penghujung perlawanan, pergaduhan tercetus apabila anggota keselamatan bergelut untuk meleraikan penyokong West Ham dan Chelsea, di mana sebelum ini insiden hampir serupa juga berlaku ketika mereka menentang Watford dan Middlesbrough.

Bilic menegaskan bahawa beliau memberi tumpuan kepada kejayaan itu, namun turut hampa dengan apa yang berlaku.

"Ia sungguh mengecewakan," katanya kepada Sky Sports. "Secara jujurnya, saya menyedarinya. Namun, saya lebih memberi fokus dalam memberi arahan supaya (Aaron) Cresswell tidak menontonnya dan hanya memberi fokus kepada permainan. 

"Saya tidak pasti apa yang berlaku. Saya terlihat sesuatu tapi apa jua yang berlaku adalah memalukan kerana kami sepatutnya hanya bercakap mengenai aksi dan kemenangan hebat ini."

Pengurus West Ham itu berpuas hati dengan corak persembahan pemain-pemainnya yang disifatkan berhak menundukkan Chelsea yang berada di tahap terbaik ketika ini. 

"Anda boleh merancang dan mempunyai perancangan. Namun, lawan anda juga mempunyai perancangan," kata Bilic. 

"Seperti apa yang dikatakan Mike Tyson, anda mempunyai perancangan, kemudian anda ditumbuk di mulut yang membuatkan semua perancangan itu musnah. Tapi kamilah yang membuat tumbukan di mulut pada awal permainan. 

"Mereka bermula dengan baik. Sudah tentu kerana mereka adalah Chelsea. Namun selepas kami menjaringkan gol, kami beraksi dengan menakjubkan dan kami patut mendapat gol kedua. 

"Detik paling getir adalah ketika memulakan separuh masa kedua. Sebaik kami menjaringkan gol, ia menyuntik kekuatan tambahan kepada kami. 

"Dalam tempoh setengah jam terakhir, mereka mengasak dengan menurunkan tiga pemain berkelas dunia. Sukar untuk kami bertahan tapi kami melakukannya sebagai sebuah pasukan dan kami mengancam mereka dengan serangan balas."
 

Tentang Penulis

Jack Davies

Komen