Pemain tengah skuad bawah 23 tahun negara, Ahmad Khairil Anuar Zamri, bertekad merebut tempat dalam senarai akhir pasukan bagi menghadapi Kejohanan AFC B-23 di China, Januari depan.

Khairil Anuar atau dikenali sebagai Beto sebelum ini tersisih daripada skuad negara ke Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu, kerana baru beransur pulih daripada kecederaan lutut.

Namun, pemain Perak itu tampil lebih bersedia selepas turut meraih pengalaman dengan skuad senior negara bedepan Korea Utara dalam kelayakan Piala Asia di Buriram, Thailand, 13 November lalu.

"Peluang bersama skuad senior memberi semula keyakinan kepada saya selepas berehat panjang," katanya.

"Apabila turun di sini (bersama skuad B-23), saya ada keyakinan berhubung dengan perlawanan peringkat antarabangsa," katanya.

Sementara itu, jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, turut berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan Khairil Anuar.

Katanya, dia mahu melihat pemain itu terus berusaha meningkatkan prestasi jika berhajat untuk berada dalam senarai 23 pemain.

"Sudah tentu kita dapat melihat Beto mendapat semangat yang cukup baik selepas dipanggil skuad senior.

"Tetapi bagi saya, semua pemain tidak kira dalam skuad Sukan SEA atau beraksi di Bangkok, tidak semestinya berada dalam skuad. Mereka harus membuktikan kemampuan dalam tiga minggu ini sebelum saya memutuskan senarai pemain," katanya.

Dalam pada itu, penjaga gol Terengganu, Amierul Hakimi Awang, sudah kelihatan dalam sesi latihan skuad negara dan seorang lagi pemain, Tommy Mawat Bada, dijadual tiba Isnin depan.