Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri dan Hadin Azman berasa terkejut dipanggil Nelo Vingada dalam tempoh 48 jam sebelum skuad negara bertolak ke Buriram, Thailand, sambil berjanji tidak akan mensia-siakan kesempatan yang diberikan ketua jurulatih Harimau Malaya itu.

Ini kali pertama Ahmad Khairil Anuar (Beto) mendapat panggilan Harimau Malaya selepas menjadi antara watak penting dalam skuad B-22 negara sebelum ini.

Mengakui baru pulang bercuti ketika mendapat panggilan itu, mentalnya kini sudah bersedia sepenuhnya untuk ke Buriram bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Korea Utara, Jumaat ini dan Isnin depan.

"Bertitik tolak daripada perlawanan separuh akhir Piala Malaysia yang lalu, Nelo hadir menyaksikan perlawanan itu dan lantas berminat dengan khidmat saya.

"Kelebihan saya adalah bermain dengan sepenuh hati. Memasuki aksi separuh akhir ketika itu, saya mencurahkan segala-galanya dan mengetepikan semua masalah serta memberi komitmen 100 peratus," kata pemain tengah Perak itu.

Bagi Hadin, dia gembira diberi perhatian oleh Vingada selepas kali terakhir bersama skuad negara ketika di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Menyedari saingan sengit untuk merebut tempat, dia akan cuba menempatkan diri setidak-tidaknya selaku pemain gantian.

"Saya masih perlu bersaing dengan Wan Zack Haikal Wan Noor dan Safawi Rasid.

"Skuad ini seimbang dan kami boleh memberi saingan kepada Korea Utara," kata pemain Felda United itu.