LEIPZIG 1 BESIKTAS 2

Penyerang Besiktas, Cenk Tosun, berkata ia akan menjadi sesuatu yang "istimewa" jika pasukannya diundi bertemu Bayern Munich dalam pusingan 16, Liga Juara-Juara (UCL), Isnin nanti.


Kelab Turki itu mengungguli Kumpulan G di hadapan Porto dan RB Leipzig dan akan dimasukkan dalam balang pemenang kumpulan. Ini bermakna mereka berkemungkinan berdepan Bayern yang menduduki tempat kedua Kumpulan B di belakang Paris Saint-Germain (PSG).

Besiktas belum pernah ditumbangkan dalam UCL musim ini dan bercakap selepas kemenangan 2-1 ke atas Leipzig, awal pagi tadi, Tosun tertarik untuk menguji gergasi Jerman itu.

"Kami perlu bermain dengan disiplin yang sama," katanya kepada pemberita.

"Tidak kira siapa yang kami jumpa dalam pusingan seterusnya kerana 16 pasukan tinggal adalah yang terbaik dalam kalangan yang terbaik.

"Perlawanan menentang Bayern akan menjadi istimewa."

Kekalahan tersebut bermakna Leipzig akan turun ke Liga Europa selepas mereka menduduki tempat ketiga.

Wakil Jerman itu bangkit selepas Willi Orban menghadiahkan penalti yang disudahkan Alvaro Negredo dan Naby Keita kembali menghidupkan peluang Leipziq sebelum Talisca menjaringkan gol kemenangan pada penghujung permainan.

Orban juga sempat menyaksikan satu percubaannya mengenai tiang dan berkata pasukannya kini berharap untuk meneruskan pengembaraan Eropah mereka dalam Liga Europa.

"Saya mempunyai peluang untuk menebus kesilapan awal tetapi hanya singgah di tiang," katanya.

"Kami mencipta peluang yang lebih banyak berbanding kebiasaannya, namun kami perlu lebih tenang.

"Jika kami menghasilkan gol penyamaan lebih awal, kami mungkin akan memenangi perlawanan ini. Kami tidak mempunyai jangkaan dalam peringkat kumpulan tetapi kami menaruh harapan dalam Liga Europa."