Berpeluangkah Safawi diturunkan Portimonense lawan Maritimo?

Oleh Muzaffar Musa 16 Oktober 2020 3345
Berpeluangkah Safawi diturunkan Portimonense lawan Maritimo?
Penyerang negara, Safawi Rasid, berpeluang mencipta sejarah sebagai pemain Malaysia pertama diturunkan beraksi dalam liga utama Eropah menjelang pertemuan Portimonense dengan Maritimo dalam saingan Primeira Liga Portugal malam esok.

Safawi sah dipinjamkan selama semusim daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) kepada Portimonense dan pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu kini menjadi tumpuan utama seluruh peminat bola sepak tanah air memandangkan saingan Piala Malaysia juga masih belum bermula.

Menjelang pertemuan itu, ketua jurulatih Portimonense, Paulo Sergio, berkata mengenai Safawi dalam sidang media: "Dia masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri supaya kebolehan sebenarnya terserlah. Kami sedang berusaha membantunya.

"Pawi atau Safawi sudah menjalani empat sesi latihan bersama kami dan saya belum pasti sama ada dia cukup cergas untuk beraksi hujung minggu ini.

"Saya memerlukan masa untuk membuat keputusan," katanya.
 
Mengulas lanjut mengenai pertemuan itu, Sergio menambah: "Lihat saja keputusan mereka (Maritimo) dalam perlawanan lalu, mereka mempunyai rekod yang baik disebabkan mereka pasukan yang bagus. Pasukan teknikal mereka juga amat bagus.

"Maritimo pasukan yang amat kuat, terutama apabila beraksi di laman sendiri dan sesiapa yang bertandang ke sana pasti menghadapi tugas sukar.

"Saya harap kami mampu beraksi baik dan pemain dapat menyerlahkan kemampuan mereka," katanya lagi.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen