Bernhardt puji corak permainan Malaysia

Oleh Penulis Jemputan 17 Oktober 2018 3653
Bernhardt puji corak permainan Malaysia
Kapten Kyrgyzstan, Edgar Bernhardt, berpandangan corak permainan yang ditampilkan Malaysia lebih baik berbanding apa yang pernah dilihatnya sebelum ini.

Aksi persahabatan di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi merupakan kali pertama Malaysia dan Kyrgyzstan bertemu di peringkat senior.

Di sebalik persembahan baik, Malaysia terpaksa akur dengan kekalahan tipis 0-1 dan menamatkan rentak dua kemenangan yang diraih sebelum ini.

Begitupun, Bernhardt memuji corak permainan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu kerana dapat memberikan tentangan hebat kepada Kyrgyzstan.

"Ia perlawanan sukar buat kami. Iklim di sini amat berbeza dengan negara kami. Kami cuba menyesuaikan diri dalam masa seminggu.

"Bagi saya, ia bukanlah perlawanan yang teruk. Malaysia bermain dengan sangat baik, terutama di bahagian depan. Mereka juga mempunyai permainan individu yang baik," kata Bernhardt.

Berbaki kurang daripada tiga bulan menjelang kempen Piala Asia di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bernhardt menganggap masih ada kelemahan dan kekurangan yang perlu diatasi pasukannya.

Ini merupakan kali pertama dalam sejarah mereka layak ke kejohanan berkenaan.

Dalam saingan itu nanti, Kyrgyzstan ditempatkan sekumpulan dengan Korea Selatan, China dan Filipina.

"Kami perlu melihatnya secara berperingkat. Bulan depan kami akan bertemu Jepun.

"Kami tidak tahu apa yang akan jadi kerana segalanya boleh terjadi dalam bola sepak.

"Kami tidak tahu pemain yang akan dipilih untuk Piala Asia. Semuanya terletak kepada jurulatih," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen