Jurulatih skuad bawah 22 tahun negara, Frank Bernhardt, tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan lebih banyak ujian kecergasan terhadap pasukan kendaliannya bagi mempertingkatkan lagi keupayaan mereka.

Skuad negara kini menjalani ujian selama dua hari di Institut Sukan Negara (ISN) bagi menilai tahap kecergasan pemain.

Ia berikutan kerisauan Bernhardt terhadap beberapa pemain yang tidak berada di tahap kecergasan yang memuaskan selepas kembali melapor diri dalam kem latihan, Khamis lalu.

Bernhardt, bagaimanapun, menjelaskan masih terlalu awal untuk menilai tahap mereka susulan daripada ujian ini, namun tidak menolak ia akan diadakan lebih kerap pada tahun hadapan.

“Kami mahu melihat keputusan prestasi pemain sepanjang musim ini kerana kami mahu melihat perkembangan dalam sesi ujian kecergasan yang akan datang. Dari situ, kami akan dapat menilai kekurangan yang ada di dalam pasukan,” katanya.

Hanya dua pemain tidak menjalani ujian in,i iaitu Muhammad Danial Asyraf serta Ifwat Akmal selepas masing-masing mengalami kecederaan.

Skuad Bernhardt akan ke Manila esok untuk aksi persahabatan menentang pasukan bawah 22 tahun Filipina pada Khamis.

Pembatalan dua perlawanan menentang Myanmar menyaksikan Bernhardt terpaksa berpuas hati dengan pertemuan ini bagi menutup kem latihan untuk 2016.

Ini kali kedua masing-masing bertemu selepas Malaysia menewaskan Filipina 4-1 ketika aksi sulung tahun ini di Paroi, Mac lalu.

“Kami telah bertemu Filipina sebelum ini, kami berharap untuk mengulangi prestasi itu dan cuba untuk memberikan yang lebih baik.”