Juan Bernat dijangka terlepas sebahagian besar aksi musim ini selepas Paris Saint-Germain (PSG) mengesahkan pertahanan itu ditimpa kecederaan lutut serius (ACL).

Bernat terpaksa dipapah keluar oleh kakitangan perubatan PSG selepas mengalami kesakitan di lutut kirinya pada lewat permainan Ligue 1 ketika mengatasi Metz 1-0.

Bekas bek Bayern Munich itu mencetak jaringan pada minit ke-86 selepas dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-63, sebelum gol Julian Draxler dalam masa kecederaan melengkapkan kemenangan sulung juara bertahan berkenaan musim ini.

Gergasi Perancis itu memaklumkan Bernat mengalami "ligamen lutut terkoyak" dengan maklumat lebih lanjut akan menyusul.

Walaupun belum dapat mengesahkan tempoh pemain itu bakal diketepikan, laporan awal menunjukkan Bernat mungkin terpinggir selama enam bulan.

Kecederaan itu menjadi satu lagi tamparan buat Thomas Tuchel yang kehilangan trio Neymar, Leandro Paredes dan Layvin Kurzawa, akibat penggantungan selain Thilo Kehrer dan Marco Verratti yang tercedera -- baru kembali menjalani latihan individu.

Kylian Mbappe pula belum tampil musim ini susulan diuji positif COVID-19 sementara kecergasan Alessandro Florenzi sedang dipantau.

Marquinhos dan Mauro Icardi kembali beraksi penuh sebaik menamatkan tempoh kuarantin selepas mereka dijangkiti pandemik itu.