Pemain baru Juventus, Weston McKennie, menyifatkan peluang untuk bermain di samping Cristiano Ronaldo merupakan satu penghormatan dan berharap dapat belajar banyak perkara daripada bintang Portugal itu.

Pemain kebangsaan Amerika Syarikat (AS) itu di peringkat awal ini menyertai Juve daripada pasukan Bundesliga, Schalke, secara pinjaman tetapi juara Serie A itu berhasrat untuk menandatanganinya secara tetap pada penghunjung musim 2020-21 dengan bayaran pendahuluan sekitar €18.5 juta (RM91.1 juta) -- berkemungkinan bertambah sebanyak €7 juta (RM34.4 juta) -- berdasarkan pencapaiannya dalam beberapa objektif yang ditetapkan .

Jika klausa itu tidak diaktifkan, Juve masih boleh membeli pemain itu dengan harga yang sama.

Pemain berusia 22 tahun itu dikaitkan dengan beberapa kelab besar di Eropah tetapi berkata tawaran untuk beraksi di samping Ronaldo merupakan sesuatu yang amat sukar untuk ditolak.

"Juventus adalah kelab antarabangsa terbaik dan terkenal di serata dunia," katanya dalam sidang media.

"Saya berbesar hati untuk berada di sini. Jika saya boleh memberikan sumbangan untuk mengembangkan jenama kelab ini, saya amat berbesar hati.

"Bermain bersamanya (Ronaldo) merupakan satu penghormatan. Melihat apa yang dilakukannya sepanjang sesi latihan, bagaimana gerakannya dan bagaimana dia berusaha akan memberikan banyak kelebihan buat saya.

"Tidak perlu meyakinkan saya untuk datang ke Juve kerana berada di sini seperti impian menjadi realiti.

"Ia peluang yang amat besar untuk menjadi pemain Amerika pertama dalam sejarah Juventus.

"Berpeluang untuk menyarung jersi ini, mewakili negara saya dan membawa generasi muda Amerika untuk lebih dekat dengan bola sepak membuatkan saya benar-benar berbangga," katanya.

McKennie menyertai Schalke pada 2016 dan melakukan 91 penampilan dalam kesemua kejohanan selepas menyertai pasukan utama dalam musim 2017-18.