Pengurus Sevilla, Eduardo Berizzo, mendedahkan dia tidak bercadang untuk meninggalkan pasukan untuk menerajui skuad kebangsaan Chile selepas pengendali mereka, Juan Antonio Pizzi, meletakkan jawatan.

Pizzi meninggalkan pasukan selepas Chile tewas 0-3 di tangan Brazil dalam aksi terakhir pusingan kelayakan zon Amerika Selatan, yang menyaksikan mereka terlepas slot play-off ke Piala Dunia 2018 di tangan Peru.

Antara individu yang dikaitkan dengan jawatan itu adalah Manuel Pellegrini, Marcelo Gallardo dan Berizzo, namun pengurus yang pernah menjadi pembantu jurulatih ketika Marcelo Bielsa mengendalikan Chile itu menjelaskan dia mahu kekal di Sepanyol.

“Saya bersimpati melihat Pizzi gagal membawa Chile ke Piala Dunia 2018 kerana saya pernah bersama mereka ketika menjadi pembantu buat Bielsa, jadi ia adalah satu perkara yang mengecewakan.

“Bagaimanapun, untuk mengulas mengenai kemungkinan saya akan memegang jawatan itu, saya adalah ketua jurulatih Sevilla dan apabila menandatangani kontrak, saya benar-benar memaksudkannya,” kata Berizzo.

“Saya jenis suka berterus-terang dan tidak memberikan sebarang maksud tersirat, serta tidak mahu menjadi sebahagian daripada spekulasi itu.

“Pekerjaan saya memerlukan fokus. Saya adalah pengurus Sevilla dan akan melakukan apa yang terkandung dalam kontrak,” tambahnya.