Jurulatih Sevilla, Eduardo Berizzo, sudah memasang hajat untuk membalas dendam selepas pasukannya dimalukan 5-1 oleh Spartak Moscow dalam perlawanan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.

Kelab Sepanyol itu lebih menyerlah dalam separuh pertama dan sepatutnya mendahului 2-1 pada separuh masa pertama jika tidak membazirkan deretan peluang.

Penggempur, Wissam Ben Yedder, kurang berbisa apabila gagal memanfaatkan peluang terbuka dari jarak 10 ela apabila rembatannya terkena pemain pertahanan lawan di atas garisan gol.

Spartak kemudian mengambil alih perlawanan apabila mengukuhkan kedudukan menerusi Lorenzo Melgarejo, Denis Glushakov dan Luiz Adriano selepas Quincy Promes terlebih dahulu merakamkan gol awal permainan sebelum pemain pertahanan, Simon Kjaer, mengimbangi kedudukan perlawanan.

Sehubungan itu, Berizzo tidak sabar lagi untuk menanti kunjungan wakil dari Russia itu di Ramon Sanchez Pizjuan bagi aksi pada awal bulan depan.

"Kesemua kesilapan di bahagian pertama dihukum dengan gol," kata Berizzo kepada beIN Sports. "Mereka sangat efektif."

"Sehingga gol kedua mereka, perlawanan adalah milik kami. Kami menguasai permainan seperti yang kami harapkan. Kekalahan dan hukuman ini terlalu berat.

"Kami mula goyah sebaik ketinggalan 2-1 sehingga melepaskan lebih banyak gol.

"Kekalahan itu memerlukan kami untuk bangkit. Kami perlu menganalisis beberapa perkara dan sedar kami perlu bekerja keras dalam segala aspek, bermula dari saya dan kemudian pasukan.

"Kami perlu memadamkan impak negatif hari ini. Bola sepak meletakkan kami dalam situasi untuk membalas dendam. Saya akan menurunkan kesebelasan yang sama nanti dan kami harus menewaskan mereka," katanya.

Begitupun, jurulatih Spartak, Massimo Carrera, menganggap kemenangan itu dibantu persembahan sempurna.

Bercakap kepada wartawan sejurus permainan berakhir, jurulatih dari Itali itu berkata: "Ia perlawanan yang sukar kerana kami bernasib baik dalam separuh masa pertama, contohnya aksi menyelamat oleh Dmitri Kombarov di atas garisan pintu gol.

"Pasukan ini menampilkan aksi sempurna dan hanya membenarkan beberapa peluang sahaja kepada pasukan hebat."