Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, mengakui bahawa dia akan berasa sedih seandainya Lionel Messi meninggalkan Barcelona.

Bintang Argentina itu dilaporkan akan membuat pengumuman mengenai perancangannya dalam masa terdekat selepas memberitahu Barca bahawa dia mahu meninggalkan kelab itu.

Manchester City dikatakan pasukan terhampir untuk menandatangani pemain berusia 33 tahun itu dengan Messi kelihatan mahu kembali bermain di bawah kendalian bekas ketua jurulatih Barca, Pep Guardiola.

Arteta, yang menghabiskan tiga tahun sebagai pemain remaja pasukan Catalan itu, akan berasa sedih sebagai seorang penyokong Barca seandainya Messi benar-benar meninggalkan kelab itu.

Bagaimanapun, bekas penolong jurulatih City itu berasakan prospek untuk pemenang enam kali Anugerah Ballon d'Or berkenaan beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) merupakan sesuatu yang menarik untuk disaksikan.

"Anda tahu dia dikaitkan dengan perpindahan di setiap tempat? Dia mempunyai banyak kelab yang mahu mendapatkannya berbanding pemain lain dalam sejarah.

"Saya merupakan penyokong Barcelona sejak kecil dan ia sesuatu yang menyedihkan untuk melihat seorang yang pada pendapat saya merupakan pemain terbaik dalam sejarah bola sepak akan meninggalkan kelab itu.

"Ayuh lihat apa yang akan berlaku. Jika dia datang ke England, kita semua akan menikmatinya," katanya.

Arteta tidak terganggu dengan prospek Messi menyertai City memandangkan dia sedang berusaha untuk mengembalikan Arsenal sebagai pasukan yang mampu mencabar kejuaraan.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan Messi akan menyertai pasukan seteru itu, dia berkata: "Ia tidak mengapa. Ia sesuatu yang bagus untuk bola sepak.

"Kami perlu mencari jalan untuk menanganinya. Jika bukan di sini, mungkin dalam Liga Juara-Juara Eropah, anda tidak pernah tahu.

"Anda mahukan pemain terbaik dalam liga anda dan bagi saya, itulah perkara terbaik, untuk mempunyai liga paling kompetitif di dunia. EPL sentiasa seperti itu.

"Pada satu ketika ada (Cristiano) Ronaldo. Saya bermain menentangnya dan ia amat bagus untuk meningkatkan tahap individu dan juga setiap pasukan," tambahnya.

Arsenal akan berdepan Liverpool dalam perebutan Perisai Komuniti malam esok.