Ketua jurulatih Juventus, Maurizio Sarri, bersetuju dengan pandangan Pep Guardiola bahawa bertemu Atalanta sama seperti "berjumpa doktor gigi".

Skuad kendalian Sarri itu akan berdepan ujian sukar apabila melayani kunjungan Atalanta, yang menduduki tangga ketiga Serie A dengan sembilan mata di bekalang Juve, awal pagi esok.

Pengurus Manchester City, Guardiola, menyamakan perlawanan menentang Atalanta seperti bertemu doktor gigi selepas ditewaskan dan terikat seri dengan pasukan Itali itu di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah.

Sarri bersetuju dengan pandangan Guardiola itu dan menjangkakan saingan sukar daripada pasukan bimbingan Gian Piero Gasperini berkenaan.

"Ia momen paling penting musim ini. Atalanta bukanlah satu kejutan. Mereka telah melakukannya dengan baik sepanjang musim ini, terutama di tempat lawan," katanya dalam sidang media.

"Mereka lawan yang sangat sukar. Atalanta sudah lama menjadi lawan yang amat sukar buat semua pasukan.

"Guardiola memberikan gambaran terbaik buat mereka. Ia seperti berjumpa doktor gigi. Anda mungkin akan rasa lebih baik tetapi anda akan sakit.

"Amat sukar untuk berdepan mereka," katanya.

Sarri akan bertemu Guardiola dalam separuh akhir Liga Juara-Juara seandainya kedua-dua pasukan itu melepasi pusingan 16.

Tetapi jurulatih berbangsa Itali itu hanya mahu memberikan tumpuan kepada saingan Serie A sebelum bertemu Lyon, yang memenangi perlawanan pertama 1-0 di Perancis.

"Saya tidak berminat. kami hanya memiliki satu sasaran, iaitu liga.

"Dan selepas liga, kami akan berdepan Lyon.

"Ia masih terlalu jauh, jadi kami tidak mahu menghabiskan tenaga (memikirkannya)," tambahnya.